Masyarakat Chetti sememangnya berpegang kuat kepada agama
dan tradisi sejak turun-temurun. Seperti mana kaum India menyambut pesta menuai
atau Ponggol (dalam loghat Chetti), masyarakat Chetti juga menyambut perayaan
tersebut secara besar-besaran pada setiap tahun sebagai tanda kesyukuran. Sehingga kini, mereka masih lagi mengamalkan dan mengekalkan amalan budaya dan tradisi warisan nenek moyang. Ini adalah salah satu peluang bagi mereka untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan. Bagi yang tinggal di luar, tidak kiralah sama ada dekat ataupun jauh, mereka akan tetap balik ke kampung Chetti untuk bersama-sama meraikan perayaan ini.
Sebulan sebelum perayaan Ponggol iaitu pada 13 Disember, masyarakat Chetti akan
melakukan sembahyang bunga pada tiap-tiap hari sehingga 13 Januari. Mereka akan bangun seawal 4
pagi untuk memcuci lantai halaman rumah serta meletakkan bunga-bungaan dan juga bekas bara di
hadapan pintu untuk roh nenek moyang pulang ke rumah.
Sembahyang bunga |
Kerja-kerja pembersihan kawasan perkuburan dan juga upacara
sembahyang kubur nenek moyang atau ahli keluarga yang telah meninggal dunia akan
dilakukan di tanah perkuburan Chetti Melaka yang terletak di Jelutong, seminggu
sebelum perayaan Ponggol. Mereka akan "naik bukit" (menziarahi kubur) dan menghiasi kubur arwah dengan manaburkan
bunga rampai dan bunga-bunga yang lain serta meletakkan bekas bara. Makanan dan
minuman juga akan dipersembahkan semasa upacara sembahyang.
Perayaan Ponggol berlangsung selama 4 hari berturut-turut.
1. Bhogi
Perayaan Ponggol bermula dengan hari Bhogi atau Parchu yang dilangsungkan
di waktu malam pada hari terakhir bulan Margli (bulan berbunga) dalam kalendar
India iaitu 13 Januari, sehari sebelum Thai Ponggol. Bagi masyarakat India,
mereka menyambut Bhogi dengan membuang dan membakar barang-barang yang lama
atau tidak digunakan lagi. Kepercayaan ini adalah bagi menyingkirkan
anasir-anasir buruk. Mereka juga akan memberi penghormatan kepada Dewa-dewa
sebagai tanda kesyukuran. Sebaliknya, kaum Chetti menyambut Bhogi dengan
memberi penghormatan kepada nenek moyang atau ahli keluarga yang telah
meninggal dunia. Itulah di antara perbezaan masyarakat Chetti dengan India yang
menyambut perayaan ini.
Pada hari tersebut, masyarakat Chetti akan memasak makanan tradisional untuk dipersembahkan kepada malaikat. Menu utamanya ialah nasi lemak kukus dengan lauk pindang ikan parang. Juga kari kambing, kuah terung, sambal timun, udang, ayam goreng, ikan goreng, urap kelapa, sambal timun, sayur kacang panjang, kobis, kangkung tumis, telur ikan dan acar cili. Hidangan ini tidak lengkap tanpa perhiasannya seperti lobak putih, telur asin, timun, daun bawang dan juga nanas.
Pada hari tersebut, masyarakat Chetti akan memasak makanan tradisional untuk dipersembahkan kepada malaikat. Menu utamanya ialah nasi lemak kukus dengan lauk pindang ikan parang. Juga kari kambing, kuah terung, sambal timun, udang, ayam goreng, ikan goreng, urap kelapa, sambal timun, sayur kacang panjang, kobis, kangkung tumis, telur ikan dan acar cili. Hidangan ini tidak lengkap tanpa perhiasannya seperti lobak putih, telur asin, timun, daun bawang dan juga nanas.
Hidangan di atas daun pisang |
Ada pantang larangnya semasa menyediakan masakan
tersebut. Di antaranya ialah mereka
tidak boleh bersembang dan merasa sama
sekali masakan tersebut sebelum dihidangkan kepada roh nenek moyang. Ini adalah
kerana mereka akan dikutuk dan akan menyebabkan bencana terhadap keluarga
mereka. Pantang larang yang kedua, wanita yang sedang mengalami haid (atau "datang kotor") dilarang menolong atau memasak. Setelah
disiapkan, mereka akan mempersembahkan makanan tersebut di atas beberapa helai
daun pisang. Kuantiti daun pisang tersebut mestilah bernombor ganjil iaitu 1, 5
atau 7. Minuman (seperti kopi, teh o dan susu), buah-buhan dan kuih-muih tradisional (seperti wajik, sesagun,tepung
gomak, pulut tekan dan kuih genggang) juga dihidangkan.
Kesemua daun pisang itu akan diletakkan bersama barang-barang upacara sembahyang iaitu pelita, lilin, bekas bara, bekas air (chumbu) yang diisi dengan daun tulsi dan dua biji kelapa muda yang ditakik dan diletakkan di sebelah kiri dan kanan pelita. Beberapa batang curut atau rokok, kapur sirih dan daun tembakau juga diletakkan untuk malaikat menghisap dan mengunyah selepas makan. Selepas selesai semua diatur, tuan rumah akan memanggil dan menjemput malaikat atau roh nenek moyang untuk datang menjamu hidangan.
Setelah rokok habis dibakar, dua keping duit siling akan dilambungkan untuk menilik kepuasan atau perasaan roh nenek moyang. Mereka percaya jika satu menunjukkan kepala dan satu lagi ekor, roh nenek moyang telah kenyang. Maka, lilin, bekas bara, pelita, rokok dan kemudian daun-daun pisang tersebut bolehlah ditarik. Jikalau kedua-dua siling tersebut menunjukkan kepala bermaksud roh berasa marah manakala kedua-duanya ekor pula bermakna roh nenek moyang sedang ketawa. Selepas selesai, semua makanan tersebut bolehlah dimakan oleh ahli-ahli keluarga sahaja. Biasanya, mereka akan memasak makanan lebih untuk dihidangkan kepada orang lain yang datang ke rumah. Orang lain bolehlah makan makanan yang tidak dihidangkan untuk upacara sembahyang tersebut.
7 daun diletakkan bersama barang-barang sembahyang |
Buah-buahan dan kuih-muih juga dihidangkan |
2. Thai Ponggol
Thai Ponggol ialah hari kedua dalam perayaan ini. Thai
Ponggol disambut pada hari pertama bulan Thai (dalam kalendar India) iaitu pada
14 Januari, setiap tahun. Pada sebelah pagi, semua masyarakat Chetti akan
berkumpul di Kuil Sri Kailasanathar ( kuil Sivan) untuk melangsungkan upacara
memasak nasi Ponggol iaitu nasi susu. Ini
adalah salah satu peluang bagi semua masyarakat Chetti untuk mengeratkan
hubungan silaturahim antara satu sama lain. Biasanya, tebu akan diikat di luar
pintu. Nasi susu dimasak mengikut cara zaman dahulu iaitu dengan menggunakan api dari kayu yang dibakar dan batu-bata sebagai dapurnya. Susu ponggol dimasak di dalam periuk belanga sehingga melimpah keluar. Ini
menandakan masyarakat Chetti akan dilimpahi dengan kegembiraan, kemakmuran dan
kekayaan. Selepas itu, beras akan dicampurkan ke dalam susu tersebut dan
kemudiannya digaulkan bersama minyak sapi, gula merah, buah gajus dan kismis.
Nasi ponggol yang telah siap akan dihidangkan di atas daun pisang (juga
dilarang merasai nasi ponggol) sebelum dipersembahkan kepada Tuhan dan kemudian
barulah diagihkan kepada masyarakat.
Nasi susu dimasak di dalam periuk belanga |
3. Mattu Ponggol
Mattu Ponggol pula disambut pada hari yang ketiga, iaitu 15
Januari. Perkataan ‘mattu’ (bahasa Tamil) bermaksud
lembu. Pada zaman dahulu, nenek moyang menyambut hari tersebut sebagai tanda
berterima kasih kepada lembu jantan yang banyak berjasa dan membantu para
petani membajak sawah padi. Kini, perayaan ini masih lagi diteruskan oleh
masyarakat Chetti sekarang. Lembu jantan akan dimandikan, dibersihkan dan
dihias. Kemudian, nasi ponggol serta buah-buahan akan disuapkan kepada lembu
tersebut di Kuil Sri Kailasanathar (Kuil Sivan). Selepas upacara tersebut,
lembu jantan itu akan dibawa mengelilingi kampung dan akan diberikan makanan
lagi di setiap kuil iaitu Kuil Sri Muthu Mariamman dan Kuil Sri Anggala
Parameswari.
Lembu jantan diberikan makan pada hari Mattu Ponggal |
4. Kanni Ponggol
Kanni Ponggol dilangsungkan pada hari yang keempat iaitu
pada 16 Januari, setiap tahun. Dengan perkataan ‘kanni’(bahasa Tamil) yang bermaksud anak
dara atau gadis yang belum berkahwin, sudah tentunya hari terakhir perayaan
Ponggol ini disambut oleh gadis-gadis atau anak dara Chetti. Pada zaman nenek moyang, gadis Chetti yang
belum berkahwin dilarang atau tidak digalakkan untuk keluar dari rumah. Pada
hari Kanni Ponggollah mereka berpeluang untuk keluar memasak nasi Ponggol dan
menghidangkan masakan tersebut kepada lelaki muda. Mereka akan berpakaian
kebaya atau sari. Ini adalah peluang bagi lelaki muda untuk memilih bakal
isterinya. Namun kini, gadis-gadis
Chetti masih meraikan perayaan ini bukanlah untuk mencari bakal suami tetapi
hanya untuk meneruskan tradisi nenek moyang supaya tradisi ini dapat
dikekalkan sehingga ke generasi akan datang. Sebalik menghidangkan masakan
mereka kepada jejaka muda, mereka akan mempersembahkan nasi Ponggol yang
dimasak kepada Tuhan dan kemudiannya akan diagihkan kepada masyarakat Chetti
yang lain.
Anak dara Chetti memasak nasi Ponggol |
Pada tahun ini juga perayaan Hari Ponggol akan berlangsung
di Kampung Budaya Chetti, Jalan Gajah Berang, Melaka. Jemputlah datang
beramai-ramai untuk menyaksikan perayaan ini disambut oleh masyarakat Chetti.
Sebarang
pertanyaan atau maklumat boleh dikemukakan melalui email kami di chettimelakaofficial@yahoo.com
atau di laman Facebook, “Chetti Melaka”.
No comments:
Post a Comment