Tuesday, 7 January 2014

Adakah Masyarakat Chetti Melaka juga menyambut Hari Ponggol?

Masyarakat Chetti sememangnya berpegang kuat kepada agama dan tradisi sejak turun-temurun. Seperti mana kaum India menyambut pesta menuai atau Ponggol (dalam loghat Chetti), masyarakat Chetti juga menyambut perayaan tersebut secara besar-besaran pada setiap tahun sebagai tanda kesyukuran. Sehingga kini, mereka masih lagi mengamalkan dan mengekalkan amalan budaya dan tradisi warisan nenek moyang. Ini adalah salah satu peluang bagi mereka untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan. Bagi yang tinggal di luar, tidak kiralah sama ada dekat ataupun jauh, mereka akan tetap balik ke kampung Chetti untuk bersama-sama meraikan perayaan ini.

Sebulan sebelum perayaan Ponggol iaitu pada 13 Disember, masyarakat Chetti akan melakukan sembahyang bunga pada tiap-tiap hari sehingga 13 Januari. Mereka akan bangun seawal 4 pagi untuk memcuci lantai halaman rumah serta meletakkan bunga-bungaan dan juga bekas bara di hadapan pintu untuk roh nenek moyang pulang ke rumah.

Sembahyang bunga

Kerja-kerja pembersihan kawasan perkuburan dan juga upacara sembahyang kubur nenek moyang atau ahli keluarga yang telah meninggal dunia akan dilakukan di tanah perkuburan Chetti Melaka yang terletak di Jelutong, seminggu sebelum perayaan Ponggol. Mereka akan "naik bukit" (menziarahi kubur) dan menghiasi kubur arwah dengan manaburkan bunga rampai dan bunga-bunga yang lain serta meletakkan bekas bara. Makanan dan minuman juga akan dipersembahkan semasa upacara sembahyang.
Perayaan Ponggol berlangsung selama 4 hari berturut-turut. 

1. Bhogi


Perayaan Ponggol bermula dengan hari Bhogi atau Parchu yang dilangsungkan di waktu malam pada hari terakhir bulan Margli (bulan berbunga) dalam kalendar India iaitu 13 Januari, sehari sebelum Thai Ponggol. Bagi masyarakat India, mereka menyambut Bhogi dengan membuang dan membakar barang-barang yang lama atau tidak digunakan lagi. Kepercayaan ini adalah bagi menyingkirkan anasir-anasir buruk. Mereka juga akan memberi penghormatan kepada Dewa-dewa sebagai tanda kesyukuran. Sebaliknya, kaum Chetti menyambut Bhogi dengan memberi penghormatan kepada nenek moyang atau ahli keluarga yang telah meninggal dunia. Itulah di antara perbezaan masyarakat Chetti dengan India yang menyambut perayaan ini. 

Pada hari tersebut, masyarakat Chetti akan memasak makanan tradisional untuk dipersembahkan kepada malaikat. Menu utamanya ialah nasi lemak kukus dengan lauk pindang ikan parang. Juga kari kambing, kuah terung, sambal timun, udang, ayam goreng, ikan goreng, urap kelapa, sambal timun, sayur kacang panjang, kobis, kangkung tumis, telur ikan dan acar cili. Hidangan ini tidak lengkap tanpa perhiasannya seperti lobak putih, telur asin, timun, daun bawang dan juga nanas.

Hidangan di atas daun pisang

Ada pantang larangnya semasa menyediakan masakan tersebut. Di antaranya ialah mereka tidak boleh bersembang dan merasa sama sekali masakan tersebut sebelum dihidangkan kepada roh nenek moyang. Ini adalah kerana mereka akan dikutuk dan akan menyebabkan bencana terhadap keluarga mereka. Pantang larang yang kedua, wanita yang sedang mengalami haid (atau "datang kotor") dilarang menolong atau memasak. Setelah disiapkan, mereka akan mempersembahkan makanan tersebut di atas beberapa helai daun pisang. Kuantiti daun pisang tersebut mestilah bernombor ganjil iaitu 1, 5 atau 7. Minuman (seperti kopi, teh o dan susu), buah-buhan  dan kuih-muih tradisional (seperti wajik, sesagun,tepung gomak, pulut tekan dan kuih genggang) juga dihidangkan.

Kesemua daun pisang itu akan diletakkan bersama barang-barang upacara sembahyang iaitu pelita, lilin, bekas bara, bekas air (chumbu) yang diisi dengan daun tulsi dan dua biji kelapa muda yang ditakik dan diletakkan di sebelah kiri dan kanan pelita. Beberapa batang curut atau rokok, kapur sirih dan daun tembakau juga diletakkan untuk malaikat menghisap dan mengunyah selepas makan. Selepas selesai semua diatur, tuan rumah akan memanggil dan menjemput malaikat atau roh nenek moyang untuk datang menjamu hidangan.

Setelah rokok habis dibakar, dua keping duit siling akan dilambungkan untuk menilik kepuasan atau perasaan roh nenek moyang. Mereka percaya jika satu menunjukkan kepala dan satu lagi ekor, roh nenek moyang telah kenyang. Maka, lilin, bekas bara, pelita, rokok dan kemudian daun-daun pisang tersebut bolehlah ditarik. Jikalau kedua-dua siling tersebut menunjukkan kepala bermaksud roh berasa marah manakala kedua-duanya ekor pula bermakna roh nenek moyang sedang ketawa. Selepas selesai, semua makanan tersebut bolehlah dimakan oleh ahli-ahli keluarga sahaja. Biasanya, mereka akan memasak makanan lebih untuk dihidangkan kepada orang lain yang datang ke rumah. Orang lain bolehlah makan makanan yang tidak dihidangkan untuk upacara sembahyang tersebut. 

7 daun diletakkan bersama barang-barang sembahyang
Buah-buahan dan kuih-muih juga dihidangkan

                           

2. Thai Ponggol


Thai Ponggol ialah hari kedua dalam perayaan ini. Thai Ponggol disambut pada hari pertama bulan Thai (dalam kalendar India) iaitu pada 14 Januari, setiap tahun. Pada sebelah pagi, semua masyarakat Chetti akan berkumpul di Kuil Sri Kailasanathar ( kuil Sivan) untuk melangsungkan upacara memasak nasi Ponggol iaitu nasi susu. Ini adalah salah satu peluang bagi semua masyarakat Chetti untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara satu sama lain. Biasanya, tebu akan diikat di luar pintu. Nasi susu dimasak mengikut cara zaman dahulu iaitu dengan menggunakan api dari kayu yang dibakar dan batu-bata sebagai dapurnya. Susu ponggol dimasak di dalam periuk belanga sehingga melimpah keluar. Ini menandakan masyarakat Chetti akan dilimpahi dengan kegembiraan, kemakmuran dan kekayaan. Selepas itu, beras akan dicampurkan ke dalam susu tersebut dan kemudiannya digaulkan bersama minyak sapi, gula merah, buah gajus dan kismis. Nasi ponggol yang telah siap akan dihidangkan di atas daun pisang (juga dilarang merasai nasi ponggol) sebelum dipersembahkan kepada Tuhan dan kemudian barulah diagihkan kepada masyarakat.  

Nasi susu dimasak di dalam periuk belanga


3. Mattu Ponggol

Mattu Ponggol pula disambut pada hari yang ketiga, iaitu 15 Januari. Perkataan ‘mattu’ (bahasa Tamil) bermaksud lembu. Pada zaman dahulu, nenek moyang menyambut hari tersebut sebagai tanda berterima kasih kepada lembu jantan yang banyak berjasa dan membantu para petani membajak sawah padi. Kini, perayaan ini masih lagi diteruskan oleh masyarakat Chetti sekarang. Lembu jantan akan dimandikan, dibersihkan dan dihias. Kemudian, nasi ponggol serta buah-buahan akan disuapkan kepada lembu tersebut di Kuil Sri Kailasanathar (Kuil Sivan). Selepas upacara tersebut, lembu jantan itu akan dibawa mengelilingi kampung dan akan diberikan makanan lagi di setiap kuil iaitu Kuil Sri Muthu Mariamman dan Kuil Sri Anggala Parameswari.   

Lembu jantan diberikan makan pada hari Mattu Ponggal


4. Kanni Ponggol

Kanni Ponggol dilangsungkan pada hari yang keempat iaitu pada 16 Januari, setiap tahun. Dengan perkataan ‘kanni’(bahasa Tamil) yang bermaksud anak dara atau gadis yang belum berkahwin, sudah tentunya hari terakhir perayaan Ponggol ini disambut oleh gadis-gadis atau anak dara Chetti. Pada zaman nenek moyang, gadis Chetti yang belum berkahwin dilarang atau tidak digalakkan untuk keluar dari rumah. Pada hari Kanni Ponggollah mereka berpeluang untuk keluar memasak nasi Ponggol dan menghidangkan masakan tersebut kepada lelaki muda. Mereka akan berpakaian kebaya atau sari. Ini adalah peluang bagi lelaki muda untuk memilih bakal isterinya. Namun kini, gadis-gadis Chetti masih meraikan perayaan ini bukanlah untuk mencari bakal suami tetapi hanya untuk meneruskan tradisi nenek moyang supaya tradisi ini dapat dikekalkan sehingga ke generasi akan datang. Sebalik menghidangkan masakan mereka kepada jejaka muda, mereka akan mempersembahkan nasi Ponggol yang dimasak kepada Tuhan dan kemudiannya akan diagihkan kepada masyarakat Chetti yang lain. 

Anak dara Chetti memasak nasi Ponggol

Pada tahun ini juga perayaan Hari Ponggol akan berlangsung di Kampung Budaya Chetti, Jalan Gajah Berang, Melaka. Jemputlah datang beramai-ramai untuk menyaksikan perayaan ini disambut oleh masyarakat Chetti.

Sebarang pertanyaan atau maklumat boleh dikemukakan melalui email kami di chettimelakaofficial@yahoo.com atau di laman Facebook, “Chetti Melaka”. 


Monday, 6 January 2014

Sidang Akhbar (29/12/2013) mengenai isu LOT93


Articles on Lot93

Dear all, below are the links to a few articles online pertaining to our current issue LOT93. We will also publish our press statement in another post.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2014/01/06/memahami-bahasa-orang-chetti/

http://www.themalaysianinsider.com/opinion/uthaya-sankar/article/pakaian-chetti-melaka

http://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2014/01/04/selamatkan-legenda-yang-hidup/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2013/12/31/malaysia-may-lose-world-heritage-status/

http://www.themalaysianinsider.com/opinion/uthaya-sankar/article/musuh-dalam-selimut-chetti

http://www.projekdialog.com/featured/mengenali-minoriti-kampung-chetti/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/top-news/2013/12/29/sebelum-chetti-masuk-muzium/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2013/12/27/selamatkan-kampung-chetti/

http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/jangan-biar-kampung-chetti-hilang-nironjini-pillay

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2013/12/17/jangan-hapuskan-kampung-chetti/

http://www.themalaysianinsider.com/opinion/uthaya-sankar/article/selepas-lembah-bujang-kampung-chetti-pula

http://kavyan.blogspot.com/2013/12/jangan-hapuskan-kampung-chetti.html