Tuesday 4 March 2014

Joget - Tarian Tradisional

Tarian tradisional kaum Chetti Melaka ialah tarian JOGET sama seperti tarian orang Melayu yang kemungkinan jarang atau tidak dipraktikkan lagi dalam kalangan mereka pada zaman sekarang. Sebaliknya, jika dilihat di kampung Chetti, masyarakat Chetti memang amat terkenal dengan tarian tradisionalnya iaitu Joget Ronggeng dan Joget Lambak. Jikalau dulu orang Chetti berjoget dengan tangan kosong, tetapi sekarang mereka telah mula menggunakan pelbagai jenis peralatan semasa persembahan tarian. Antaranya ialah payung, selendang, tong pulut, dulang dan sebagainya.

Gerak-geri kaki dan tangan dengan mengikut tempo yang sederhana memainkan peranan yang amat penting dalam tarian joget. Kebiasaannya, mereka akan mempersembahkan tarian tersebut secara berkumpulan atau beramai-ramai semasa majlis keramaian seperti majlis perkahwinan, majlis hari jadi atau ketika orang datang melawat.  Hingga kini, mereka tetap tidak lupa akan tarian yang unik itu malah mereka berasa amat bangga dengan tarian yang diwarisi sejak dulu lagi. Jika dapat dilihat, tarian joget dipersembahkan oleh pelbagai golongan masyarakat Chetti iaitu dari usia kanak-kanak hingga ke golongan yang berusia 60 tahun. Golongan yang lebih tua juga sering mengajar dan menggalakkan anak-anak mereka untuk turut berlatih dan menyertai tarian joget. Tarian ini akan terus diwarisi dan dikekalkan hingga ke generasi akan datang.


Saksikanlah video-video tarian joget yang dipaparkan di bawah ini.

      Tarian joget dengan tajuk lagunya Cinamami. Alatan yang digunakan ialah payung 
                                                              dan  selendang



                                        Tarian joget bertajuk Serampang Laut




              Tarian joget lagu Tong Pulut dengan menggunakan alatan tong pulut tekan 



                 Joget Lagu Dondang Sayang oleh kanak-kanak Chetti semasa latihan




Monday 3 March 2014

PANTUN CHETTI MELAKA













Cantik molek bila berjalan,
Gadis Chetti bernama Sumi;
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Selamat datang ke laman blog kami.

Perempuan Chetti cantik wajah, 
Lelaki pula tampan belaka;
Pintu gerbang berkepala gajah,
Itulah kampung Chetti Melaka.

Anak Pak Utam dikahwini orang,
Datang menjenguk sekali-sekala;
Wanita berkebaya disematkan kerongsang,
Lelaki berkain pelekat talapa di kepala.

Parameswara datang dari Palembang,
Lalu diberi nama Melaka;
Pandai berpantun dan berdondang sayang,
Itulah budaya dan warisan Chetti Melaka.

Besarnya takhta dalam Istana,
Bukan tandingan orang berada;
Bukan Tamil ataupun Cina,
Bahasa Melayu bahasa ibunda.

Kanak-kanak bermain bersama,
Makin kuat gelak tawanya;
Orang Chetti kuat beragama,
Perayaan mengamay perayaan utamanya.

Kain dibeli dari Kampung Lokan,
Lalu disimpan di dalam peti;
Tepung gomak dan pulut tekan,
Antara kuih tradisional Chetti.

Disuruh ke kedai membeli lobak,
Baik-baik menyeberang titi;
Joget ronggeng dan joget lambak,
Tarian tradisional orang Chetti.

Membuat lawatan ke Kota Serdang,
Terkenal dengan pembuatan berlian;
Alat muzik bernama gendang,
Dimainkan masa majlis keramaian.

Dari Kuala Pilah ke Mersing,
Singgah sebentar di bandar Pekan;
Hantu galah congkak dan gasing,

Permainan tradisional masih diteruskan.